Banjir besar yang hampir bawa feri P. Pinang naik ke darat

169
0

Oleh Ramli Abdul Samad

Baru-baru ini telah terjadi bencana alam dalam bentuk banjir dan taufan berskala besar di beberapa wilayah dunia, termasuk di Pulau Pinang.

Di negara kita pada 3-4 November lalu, hujan selama 15 jam tanpa henti-henti bersama angin rebut telah melanda Pulau Pinang dan susulan banjir meranapkan harta benda sekali dengan tujuh nyawa terkorban.

Banjir ini yang telah memporak-perandakan negeri Pulau Pinang adalah yang paling buruk pernah berlaku pada negeri mutiara ini. Paras air banjir mencecah sampai 3.5 meter. Seramai hampir 6,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan.

Musibah banjir memperlihatkan tidak terkira banyaknya rumah dimasuki air selut, jalan raya tenggelam bagaikan kolam, feri Pulau Pinang hampir naik ke darat (gambar atas), pokok tumbang, tanah runtuh, binaan runtuh dan macam-macam lagi.

Pendek kata kemusnahan jika hendak diterjemahkan ke dalam kos, ia mungkin mencecah berbilion-bilion ringgit.

Pengerusi Persatuan Pembuatan Malaysia (FMM) menganggarkan industri pembuatan telah mengalami kerugian sejumlah RM300 juta akibat banjir terburuk itu. Ia kerana terjadi kekurangan tenaga kerja semasa tempoh banjir, kelambatan transaksi logistik dan kerosakan terhadap aset-aset industri.

Pulau Pinang kali ini dilanda hujan yang mungkin terlebat dalam sejarahnya apabila menjadi mangsa tempias Taufan Damrey dari Vietnam. Taufan Damrey – juga dikira sebuah taufan yang paling mengganas melanda Vietnam sejak beberapa dekad yang lalu – telah meragut 27 nyawa dan memusnahkan 40,000 rumah pada Sabtu (4 Nov).

Jika dihalusi lagi, taufan itu pasti muncul gara-gara gejala pemanasan global melampiaskan tenaganya terhadap manusia.

Dalam satu perkembangan lain, presiden Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Tan Yean Chin telah mendesak agar Putrajaya memberi perhatian serius terhadap isu perubahan cuaca setelah Pulau Pinang dan Kedah dilanda hujan lebat luar biasa.

Fokus terhadap permasalahan ini harus diberi pertimbangan berat oleh banyak pihak berkepentingan, terutama sekali pentadbiran DAP di Pulau Pinang.

Kerosakan yang meluas selepas Taufan Irma melanda

Taufan Irma dan Badai Harvey

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, dalam sebuah ucapannya mengenai isu malapetaka alam berkenaan pada minggu kedua September 2017, memberi gambaran kesan dari kecelakaan alam global itu, antaranya:

  • Jumlah bencana alam sejak tahun 1970an telah bertambah empat kali ganda
  • Negara berpenduduk besar – Amerika Syarikat, China dan India – telah mengalami bencana alam yang paling serius sejak 1995
  • Pada tahun lepas, PBB merekod seramai 24.2 juta manusia telah terpaksa berpindah dari lokasi asalnya; jumlah mereka yang berpindah ini adalah tiga kali ganda lebih besar daripada fenomena manusia yang terpaksa berpindah kerana terjadinya konflik atau aktiviti keganasan perang

Taufan Irma telah memaksa sejumlah 6.5 juta rakyat Florida atau satu perempat daripada populasinya dipindah pada 10 Ogos lalu. Taufan itu – yang dikatakan sebagai paling kuat pernah dirakamkan di Samudera Atlantik – juga merosakkan 90 peratus prasarana negara kecil Cuba.

Pakar-pakar alam sekitar PBB menganggap bahawa musibah yang manusia menderitai kini adalah terkait dengan kegiatan manusia itu sendiri.

Kenaikan suhu di samudera bergabung pula dengan unsur-unsur lain membentuk daya-daya badai dan angin yang kencang. Ia mendaftarkan suatu pola cuaca melampau yang jauh menyimpang daripada pola cuaca yang jarang-jarang manusia mengalaminya setengah abad sebelumnya.

Sebagai contoh, Badai Harvey berkategori 4 dengan kecepatan sekitar 130 batu sejam telah menerjang Houston di Texas, Amerika Syarikat dan negeri jirannya Louisiana pada lewat Ogos lalu.

Banyak bangunan ranap dan begitu ramai terkorban sehinggakan Presiden Donald Trump meletakkan status ‘darurat bencana’ angkara banjir dasyat di wilayah berkenaan. Badai Harvey diperkirakan sebagai lebih dasyat daripada Badai Katrina pada tahun 2005 silam.

⇓  Jalan runtuh di lereng bukit Pulau Pinang pada Ahad lalu (Nov 5) selepas hujan lebat tak henti-henti
Kawasan bertentangan lokasi Kondo Surin Bolton di Tanjung Bungah, Pulau Pinang — gambar Adun Teh Yee Cheu

Pembangunan lereng bukit di P. Pinang semakin mengancam

Kajian-kajian oleh pakar kaji cuaca menunjukkan adanya peningkatan suhu samudera boleh menyumbang ke arah pembentukan taufan yang ekstrim.

Pendek kata pemanasan global adalah kunci kepada cuaca luarbiasa yang berpunca daripada kegiatan dan aktiviti-aktiviti pembangunan manusia sendiri, contohnya pemotongan dan penggondolan bukit dan penebangan pokok hutan.

Di peringkat dunia, kita mempunyai Persetujuan Paris sebagai sebuah badan yang mengurus tadbir masalah pemanasan global, meskipun Amerika Syarikat yang diterajui Presiden Trump telah mengundur diri.

Namun Persetujuan Paris merupakan peluang terbaik untuk dilaksanakan bagi menangani peningkatan suhu dan paras air laut. Masyarakat antarabangsa wajib memegang amanah untuk menyelamatkan dunia dari malapetaka mega seumpama yang kita lihat dalam masa terkini.

⇓  Video dirakam penulis pada Ahad lepas (5 Nov)

Di Malaysia peringkat negeri Pulau Pinang pula, para pemaju pembangunan harus lebih prihatin agar jangan terus memajukan projek-projek pembangunan mereka di lokasi-lokasi yang selalu mengundang banjir seperti menambahkan lagi projek di persekitaran yang sedia padat atau di kawasan rendah.

Pentadbiran Lim Guan Eng harus peka dan patuh pada dasar-dasar pembangunan yang menuntut supaya kerajaan DAP menghormati alam sekitar.

Download PDF