DAP impikan berkuasa penuh buat julung kalinya

249
0

Oleh Mohd Khairul Anwar

Barangkali masih ramai yang tidak tahu bahawa Democratic Action Party (DAP), Malaysia benar-benar berasal daripada People’s Action Party (PAP), Singapura pimpinan mendiang Harry Lee Kuan Yew dan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengannya (Awang Selamat, Utusan Malaysia, 1 Julai 2012).

Meski pun ada pimpinan DAP yang cuba menafikannya dalam media arus perdana atau portal media sosial, namun buku-buku ilmiah dan ulasan politik semasa yang mengkaji parti tersebut berjaya mendedahkannya kepada umum.

Terbaru, buku DAP: Bahaya kepada Melayu-Islam di Malaysia karangan AIDC, terbitan RED Pena Enterprise (2017) membuktikan kesahihan fakta ini.

Buku yang ditulis dalam bahasa paling mudah difahami oleh semua peringkat pembaca ini juga bukan sahaja telah membongkar kedurjanaan DAP ke atas umat Melayu-Islam tetapi juga berjaya membuktikan DAP berbahaya kepada kesejahteraan dan keharmonian rakyat jelata sebagaimana yang sudah termaktub dan terjamin dalam perlembagaan persekutuan.

Waspada muslihat DAP yang pandai bermuka-muka

Buku DAP: Bahaya kepada Melayu-Islam berkenaan menghuraikan bagaimana dan sejauh mana DAP mencabar Perkara 3(1) dan Perkara 153 perlembagaan persekutuan menerusi konsep ‘Malaysian Malaysia’nya dan berulangkali menentang usaha-usaha untuk mendaulatkan Islam dalam urus-tadbir negara.

Ini jelas diungkapkan oleh penulis di muka-muka surat 235-236 betapa pemimpin utama DAP seperti Karpal Singh (pengerusi DAP) dan Lim Kit Siang (setiausaha agung) senantiasa cuba mengingatkan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular dan bukannya negara Islam.

Bagi DAP, Malaysia mesti dikekalkan sebagai bukan sebuah negara Islam dalam keadaan apa sekalipun sampai bila-bila. DAP akan menentang mana-mana pihak yang berjuang untuk mendaulatkan Islam dengan memperkasakan atau menegakkan perundangan Islam di Malaysia (ms. 237-241).

Rakyat, terutamanya umat Melayu-Islam, perlu faham betul-betul akan pendirian DAP, yakni DAP hanya boleh bersetuju setakat “Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan bukannya tafsiran yang lebih daripada itu”.

Ini pernah ditegaskan oleh Karpal Singh pada 28 Julai 2013 selaku pengerusi DAP bahawa: “Agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan ia sudah termaktub dalam perlembagaan namun perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali” (ms. 238).

Perkara yang sama diulangi Lim Guan Eng selaku setiausaha agung DAP pada 20 Mac 2015 di mana beliau telah berkata dengan amat jelas sekali bahawa:

“DAP tegas membantah pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana ia undang-undang Islam, tetapi kerana hudud adalah bertentangan dengan perlembagaan persekutuan” dan “Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi Malaysia, Malaysia bukanlah sebuah negara Islam” (ms. 240).

⇓  Buku politik karangan blogger AIDC

Bermula dengan prakata yang ringkas dan tepat sebanyak tiga muka surat (ms. iv-vi), sebenarnya AIDC selaku penulis buku ini sudahpun meringkaskan keseluruhan daripada 260 muka surat buku tersebut dengan cukup menarik.

Bacaan yang teliti sudah tentu mampu memberikan overview yang baik kepada kita untuk memahami tema dan keseluruhan isi kandungan buku tersebut yang menepati tajuknya, iaitu betapa bahayanya DAP kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Melayu-Islam.

Lee Kuan Yew bersama Lim Guan Eng

‘Malaysian M’sia’ — warisan cogankata Lee Kuan Yew

Apa tidaknya; ia bermula dengan pengkisahan lahirnya DAP hasil kerja keras Devan Nair, salah seorang pemimpin kanan PAP dan orang kepercayaan Lee Kuan Yew pada tahun 1966 di Kuala Lumpur, iaitu 12 tahun setelah kelahiran PAP di Singapura pada tahun 1954.

PAP telah diasaskan oleh Lee Kuan Yew (sebagai setiausaha agungnya yang pertama) bersama-sama Dr Toh Chin Chye (pengerusi) dan Devan Nair Chengara Veetil (ms. 10).

Devan Nair selaku satu-satunya wakil Parlimen parti PAP di Tanah Melayu dilaporkan telah berusaha “menghidupkan DAP dengan nama baharu ‘PAP Malaya’, namun usahanya itu ditolak pendaftar pertubuhan.

Justeru itu Devan Nair membuang perkataan ‘people’ daripada nama asal PAP – ‘People Action Party’ ditukar kepada ‘democratic’ menjadi ‘Democratic Action Party’ (DAP) dan usaha ini membuahkan kejayaan apabila DAP diluluskan pendaftar pertubuhan pada 19 Mac 1966” (ms. iv).

Penulis dengan jelas menyatakan: “Malah roh perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ (Malaysia untuk rakyat Malaysia) yang digagaskan oleh setiausaha agung PAP, Lee Kuan Yew ketika kempen PRU 1964 masih diwarisi DAP hingga ke hari ini” (ms. v).

Begitu juga, penulis membuktikan bahawa konsep organisasi DAP berpaksikan ‘Central Executive Committee (CEC)’ yang digunapakai sehingga ke hari ini adalah betul-betul sama dengan amalan CEC oleh PAP Singapura.

CEC sebenarnya mula-mula diperkenalkan oleh Vladimir Lenin, pemimpin utama Parti Komunis Rusia yang kemudiannya diadaptasikan oleh Mao Zedong, ketua Parti Komunis China! (ms. v). Itulah rangkaian kerangka pemikiran dan operational grand design PAP yang digunapakai sepenuhnya oleh DAP.

Penulis juga berjaya buktikan bagaimana kejayaan LKY berkuasa selama 38 tahun memimpin Singapura (sebelum diserahkan sementara kepada Goh Chok Tong) dan kemudian kepada anaknya Lee Hsien Loong. Itulah model ikutan Lim Kit Siang yang berjaya memimpin DAP Malaysia selama 35 tahun sebelum dipindahkan kepada anaknya, Joseph Lim Guan Eng yang memegang jawatan Setiausaha Agung DAP sejak 2004 hingga sekarang (ms. 145 & 146).

Beribu tahun sebelum ini, seorang failasuf agung Yunani Aristotle telah kata bahawa “man is a political animal” dan kata-kata ini menepati Guan Eng yang terang-terang memuji-lambung bapanya dengan berkata: “Kita memerlukan intelek dan pengalaman luas saudara Lim Kit Siang” ketika mengumumkan jawatankuasa baru CEC sesi 2004/2007 (A. Letchuman, The Star, 29 Ogos 2004).

AIDC, dalam buku beliau, juga telah mendedahkan bagaimana DAP dikawal sepenuhnya oleh Dinasti Lim sebagaimana PAP ditadbir-urus oleh Dinasti Lee. Ini mengingatkan kita akan kata-kata ‘Superman’ Hew Huan Yau yang pernah menyifatkan DAP sebagai: “Lim Kit Siang adalah DAP dan DAP adalah Lim Kit Siang” (ms. 120).

Lebih daripada itu, kata Hew; “Seseorang telah bertanya berkenaan DAP, mana yang lebih berkuasa, Pengerusi DAP atau Setiausaha Agung DAP? Jawapannya tidak kepada kedua-dua jawatan itu. Ia bergantung kepada di mana kedudukan jawatan Lim Kit Siang, maka jawatan itu yang akan menjadi paling berkuasa” (Xu Guo Wei, Nanyang Siang Pau, 1 Dis 2015).

Dinasti Lim menzahirkan parti ‘matlamat halalkan cara’

Politik DAP yang berasaskan konsep “segalanya boleh”, “hantam sajalalah” dan “ini kalilah!” asalkan “the end justifies the means”!

Yang perlu diambilkira oleh umat Melayu-Islam dan warganegara Malaysia bukan Islam non-DAP ialah fakta bahawa DAP merupakan sebuah parti yang akan berbuat apa sahaja demi memastikan tujuan-tujuan dan matklamat akhir DAP tercapai dalam PRU14 nanti.

DAP dengan bantuan NGO-NGO berbangsa Cina terutamanya, liberalis-pluralis-LGBT serta cybertroopers Red Bean Army (RBA)nya akan berhempas-pulas bersungguh-sungguh untuk jatuhkan Najib Razak sebagai perdana menteri dalam apa kesempatan yang ada sehingga ia benar-benar berjaya.

DAP bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bermotif untuk menjatuhkan kerajaan hari ini. Segala-galanya dibolehkan bagi DAP untuk menjayakan hasrat ini.

Dengan sekelip mata DAP boleh lakukan aksi magis, bermain mata dan “lupakan kisah silam” apabila Kit Siang berbaik-baik dengan mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad yang pernah menjadi musuh nombor satu DAP sejak tahun 1955!

Demi pilihanraya umum nanti, motto DAP menjadi amat mudah, yakni: “Asal Umno dan BN jatuh. Asal PAS juga terhumban sama” lalu memberi jalan rakyat memilih Pakatan Harapan setelah 60 tahun negara dimerdekakan.

Menerusi PRU14, parti-parti PAN, PKR dan sebagainya akan bernaung dengan DAP bawah Pakatan Harapan untuk kalahkan BN dan PAS buat sekian kalinya.

Poster kabinet kepemimpinan tertinggi PH penuh dengan muka-muka bangsa Melayu dengan hanya Guan Eng, Chong Chieng Jen dan M. Kulasegaran yang bukan Melayu. Untuk ini kalilah, takpa kerana DAP telah membadutkan pemimpin Melayu untuk lawan Melayu Umno dan PAS.

DAP terpaksa caturkan sedemikian kerana jika dibawa tema Cina lawan Melayu; pastinya DAP akan kecundang dan tak dapat sokongan Melayu-liberal dan Melayu-ABU (Asal Bukan Umno). Pemimpin dan penyokong Melayu-Islam berkenaan juga tahu dan rela dibadutkan kerana mereka mempunyai hasrat dan tujuan yang sama untuk jatuhkan Najib dan BN dalam PRU14.

Yang paling penting bagi DAP ialah keputusan akhir PRU14. Jika DAP menang majoriti dalam Pakatan Harapan, pastinya DAP adalah ‘kingmaker‘ dalam percaturan politik terkini Malaysia.

DAP boleh mencaturkan bidaknya dalam posisi apa sekalipun asalkan DAP kuasa de jure dan suara de facto sebenar, sekaligus dan berkuasa penuh buat julung kalinya dalam sejarah politik negara.

Evangelis DAP Hannah Yeoh dan “hope” (harapan)nya yang menggunung

Evangelisme DAP sudah terang lagi bersuluh

Namun, masih ada yang meragui kesepakatan pelbagai parti dalam Pakatan Harapan. Apakah semua mereka itu benar-benar sehaluan dan bersatu tujuan?

Ya… mereka ada satu tujuan yang sama untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan beliau. Mereka sebenarnya tidak begitu sehati sejiwa untuk memimpin Malaysia ke arah satu dasar yang disepakati sebagaimana Barisan Nasional (BN) seandainya pun mereka menang dalam PRU14.

Mereka akan menyorak kuat seolah-olah sehaluan namun ramai pemerhati berpandangan hakikat PH yang berupa “bahtera yang mempunyai ramai nakhoda” yang rapuh, mudah retak dan menuju belah, bakal mengundang bala dan bencana!

Pemerhati dan pengkaji geopolitik semasa pernah berkata bahawa adalah tidak cukup dengan mereka berkata “apa-apa perbezaan antara parti dalam komponen PH adalah perkara kedua” kerana prinsip “agree to disagree” akan digunakan sebagaimana yang sudah dipersetujui di kalangan semua pihak dalam majlis presiden Pakatan Harapan.

Inilah ‘demokrasi terpimpin ala DAP’ yang membolehkan segala-galanya. DAP akan memainkan sepenuhnya sentimen dan perasaan “ada kukisah?” anak-anak muda daripada Gen-Y dan Gen-Z. Inikali saja, kan?

Umat Melayu-Islam mestilah berwaspada akan mainan politik licik lagi kotor DAP. Jangan terjadi Melayu-Islam hilang kuasa dan berputih mata selama 100 tahun selepas PRU14 kerana mengundi ikut emosi akibat tertipu atau marahkan BN dan PAS.

1MDB dan isu-isu lapok akan terus di’spin’ dan dikitar semula 360-darjah dengan bantuan Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat dan sederetan penaja luar negara dalam pebagai bentuk NGO, termasuk persatuan gereja evangelis.

Bacalah kajian terperinci ancaman kristian evangelisme ke atas Asia Tenggara dan Malaysia oleh Iain Buchanan dalam Sang Nila and the Lion of Judah (2015) dan The Armies of God: a Study in Militant Christianity (2010).

Sesungguhnya DAP dan evangelisme pimpinan Joseph Lim Guan Eng adalah hakikat benar yang DAP tidak boleh sorok lagi sebagaimana yang telah didedahkan oleh bekas strategis Melayu-Islam DAP bernama Mohd Razali Abdul Rahman (ms 159-195).

Huan Cheng Guan: “DAP lagi teruk dari gengster”

Yang kita pasti dan dapat menduga jika rakyat memberi undi kepada DAP dan Pakatan Harapan dalam PRU-14 nanti bahawa:

(i) DAP akan terus menegaskan pendiriannya bahawa Malaysia adalah negara “sekular”, maka apa akan jadi dengan Perkara 3(1) yang memaktubkan Islam sebagai “agama persekutuan” di mana Islam diutamakan berbanding agama-agama lain?

(ii) DAP bertegas meneruskan penentangannya terhadap pembahagian rakyat kepada golongan bumiputera and bukan bumiputera, maka apa akan jadi dengan Perkara 153 yang memperuntukkan “kedudukan istimewa” orang Melayu?

(iii) DAP pasti mahu meletakkan calon-calonnya dalam barisan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan demi memastikan konsep ‘Malaysian Malaysia’ dilaksanakan dengan mantap

(iv) Pentadbiran Pulau Pinang akan dijadikan ‘model terbaik’ urus-tadbirnya untuk negeri-negeri lain

Mengakhiri ulasan kita ke atas pendedahan bahayanya DAP ke atas Melayu-Islam dalam buku tulisan AIDC ini, marilah kita perhatikan testimoni pandangan wakil orang Cina ke atas ‘DAP dan orang Cina DAP’ yang dikatakan “berbeza dengan mana-mana orang Cina bukan DAP” seperti yang diluahkan oleh dua orang tokoh berbangsa Cina berikut dalam buku ini (ms 196-212 dan 213-227):

(i) Ti Lian Ker, pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA:

(a) “DAP memakai pakaian berbilang bangsa tetapi tindak tanduk mereka adalah rasis” (ms. 203)

(b) “Tindak tanduk lakonan posturing politik DAP adalah radikal dengan memainkan sentimen perkauman masyarakat Cina”  (ms. 203)

(c) “Kalau kita buat pengkajian tokoh-tokoh DAP yang berucap, berceramah di hadapan masyarakat Cina dalam bahasa Cina, nada dan mesej mereka memang berbeza apabila mereka berucap dengan masyarakat Melayu ataupun apabila ada penyokong-penyokong PAS” (ms. 204).

(d) “Kalau kita tengok DAP, sememangnya dari dahulu lagi Lim Kit Siang telah cantas tokoh-tokoh tertentu dalam parti mereka” (ms. 207).

(e) “Semua pemimpin-pemimpin DAP negeri akan dicantas secara berterusan sekiranya tidak toe the line” (ms. 207).

(f) “Akhirnya anaknya Lim Guan Eng walaupun kalah di Melaka telah dijadikan setiausaha agung DAP dan dijadikan ketua menteri Pulau Pinang secara parachute’’ (ms. 207).

(ii) Huan Cheng Guan, naib presiden Parti Cinta Malaysia (PCM):

(a) “Kalau dikatakan DAP sebuah parti yang sederhana, dan bukan parti yang kaya, bagaimana mereka boleh memiliki sebuah bangunan yang begitu besar di Pulau Pinang dalam masa 3 tahun? Duit jatuh dari langitkah?” (ms. 214).

(b) “Buat apa dia (Lim Guan Eng) pergi Hong Kong, saya pun tidak tahu. Tapi di Hong Kong pun ada kereta plat PENANG. Siapa yang belipun saya tak tahu. Dia sibuk buat apa di Hong Kong? Di Hong Kong pun dia buat press conference, kritik negara kita sendiri. Memburukkan nama negara kita sendiri. Video itu masih saya simpan lagi” (ms. 217).

(c) “Lim Guan Eng sekarang selepas tujuh tahun memerintah negeri Pulau Pinang, sebagai Ketua Menteri tidak ada sesiapa pun berani tegur dia. Exco dia pun serupa macam ‘anjing’ juga. Tak berani tegur. Dia sekarang sudah sombong, angkuh” (ms. 219).

(d) “Saya minta kawan-kawan dari Melayu, India dan lain-lain jangan salah faham tentang masyarakat Cina. Jangan sebut ‘awak orang Cina’ secara umum. Tak boleh sebut begini, awak kena sebut Cina DAP. Cina DAP. Awak cakap Cina DAP takpa” (ms. 221).

(e) “Mereka (DAP) di Parlimen pun macam gangster juga. Lagi teruk dari gengster” (ms. 221).

(f) “Dia punya sikap, apa yang telah dia buat, betul ke, tak betul ke, ada apa ke, mereka tak akan minta maaf. Tak akan minta maaf. Ini sudah diajar. Sudah dilatih. Walaupun dia salah, dia akan tetap pusing-pusing, suruh dia minta maaf, dia tak akan minta maaf. Itulah DAP” (ms. 222).

Seperti juga kata-kata tokoh berbangsa Cina di atas, DAP akan berjanjikan langit dan bintang untuk meraih undi, DAP selamba buat pusingan-U dan tidak akan meminta maaf di atas apa-apa kesilapannya kerana “ini sudah diajar” kepada mereka.

Terfikir kita sejenak: Siapakah yang telah mengajar dan mendidik ahli-ahli DAP sehingga menjadi sedemikian murah harga diri mereka?

Download PDF