Jenayah hidupan liar perlu ditangani

358
0

Oleh Ramli Abdul Samad

Dagangan haram hidupan liar adalah yang paling menguntungkan di dunia, kata sebuah laporan dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Hampir setiap negara di bumi turut terlibat dalam transaksi dagangan lumayan ini yang untungnya bernilai $10 bilion dolar setahun.

PBB meletakkan dagangan haram hidupan liar sebagai salah satu dagangan tertinggi kelima dalam kategori dagangan global haram.

Buat pertama kalinya Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bahagian Dadah dan Jenayah (UNODC) telah mengeluarkan sebuah laporan mengenai jenayah global hidupan liar pada 24 Mei 2016 lalu.

Laporan itu, World Wildlife Crime Report memberi sorotan istimewa bagaimana pencerobohan dan dagangan haram terhadap ribuan spesies tumbuhan mahupun haiwan di seantero dunia itu bukan sahaja boleh mensajikan bahaya-bahaya alam sekitar bahkan boleh juga boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang negara-negara melalui pemarakan konflik-konflik antara negara.

Laporan itu turut menghimbau perlunya tanggungjawab bersama daripada semua negara dalam menangani jenayah haram jenis ini yang mana produk-produk yang bersumber daripada flora dan fauna itu dijadikan bahan-bahan untuk keperluan manusia berada.

Spesi hidupan liar yang dilindungi akan dibunuh untuk memenuhi tuntutan fesyen, perabot, makanan dan ‘ubat’ menaikkan syahwat, dan binatang kesayangan.

Barangan-barangan haram ini mudah saja diperolehi di pasaran terbuka dan tidak perlu disembunyikan dari penglihatan biasa awam.

Pada tahun 2014 sebanyak 180 negara telah menerima Konvensyen Mengenai Dagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Terancam atau lebih dikenali dengan singkatannya CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora).

CITES telah diterima pada tahun 1973 dan dikuatkuasakan pada tahun 1975. CITES dikira akan mengatur dagangan antarabangsa terhadap 35,000 spesies tumbuhan dan haiwan  bagi memastikan yang dagangan berkenaan itu tidak akan menjejaskan kemandirian spesies-spesies.

Kelestarian hidupan liar adalah penting bagi kemandirian penghuni di bumi kerana hidupan liar adalah antara satu komponen penting dalam satu sistem kompleks ekologi dunia. Jika musnah komponen itu lambat laun ia akan menjejaskan jaringan lain dalam sistem yang saling bergantung antara satu dengan yang lain.

Namun apa yang telah berlalu empat dekad selepas CITES diluluskan adalah khabar berita yang tidak indah didengar. Banyak negara telah melanggar perundangan hidupan liarnya sendiri selain gagal mematuhi peraturan CITES dan garis panduan hak asasi haiwan antarabangsa.

⇓  Produk hidupan liar boleh dibeli di pasaran terbuka

Ada banyak faktor kenapa CITES tidak dapat dilaksanakan, antaranya dagangan haram hidupan liar memberi pulangan yang sangat lumayan setanding dengan dagangan haram dalam transaksi seperti dadah, senjata dan dagangan manusia.

Berkait dengan dagangan haram hidupan liar, didapati setiap negara memainkan peranan sama ada selaku sebagai negara pembekal, sebagai negara transit dan selaku negara destinasi yang mana hidupan liar itu diserahkan kepada pelanggan.

Pedagang-pedagang yang aktif terlibat mewakili hampir 80 daripada pelbagai warga negara dunia. Mereka yang meraih keuntungan besar itu adalah dari golongan elit bisnis dan kroni-kroni mereka baik dari pihak pemerintah atau swasta.

Dagangan haram hidupan liar ini tetap segar dan rancak kerana permintaan terhadap bahan-bahan yang terdiri daripada komponen hidupan liar semakin tinggi. Berahi akan produk-produk hidupan liar itu tetap mempesonakan manusia.

Kejadian-kejadian jenayah terhadap hidupan liar bukanlah seperti yang dipercayai sebelum ini berlaku di negara-negara atau wilayah-wilayah tertentu sahaja, sebenarnya ia berlaku di semua negara dan ia kini menjadi satu fenomena global yang nyata.

Terdapat lapan kajian kes terhadap produk-produk spesies yang diatur oleh tujuh sektor  industri yang mengguna bahan-bahan  hidupan liar dari seluruh negara.

Dagangan hidupan liar semakin diiktiraf sebagai satu bidang jenayah tersusun yang khusus dan ia juga adalah satu ancaman signifikan kepada banyak spesies tumbuhan dan haiwan.

World Wildlife Crime Report yang merupakan satu laporan penilaian global yang pertama akan status jenayah hidupan liar mendasarkan laporannya daripada data yang dirujuk dari World Wise.

Sebanyak lebih daripada 164,000 tangkapan berkaitan dengan jenayah hidupan liar didokumenkan telah dibuat dari 120 buah negara.

Kebanyakan daripada dagangan haram terhadap mamalia berlaku di Asia dan Afrika manakala kebanyakan tangkapan hidupan liar dilakukan di negara-negara seperti China, India, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Salah satu pemerhatian penting yang dapat dirumuskan dari pangkalan data itu ialah betapa wujudnya satu jaringan kepelbagaian yang melampau akan aktiviti haram ini disusun atur.

Daripada hampir 7,000 spesies yang berjaya disita itu, misalnya, masih tiada terdapat satu spesies pun yang mewakili lebih dari enam peratus dari jumlahnya.

⇓  Burung disumbat dalam botol

Kini dengan bantuan Internet, haiwan terancam – dari spesies kura-kura sehingga kepada harimau – dijual menerusi transaksi dalam talian yang begitu mudah.

Malah pembelian secara haram haiwan berkenaan sehingga boleh diperolehi dalam lingkungan masa sehari sahaja. Contohnya, dagangan haram berburung esotik biasanya dilakukan di daerah Amerika Tengah dan Amerika Selatan.

Burung kakak tua adalah mangsa favorit bagi pemerdaganan haram hidupan liar.

Dalam satu laporan di Indonesia terdapat permintaan tinggi di pasaran gelap terhadap burung kakak tua jambul kuning kerana dagangan ini boleh meraih keuntungan besar.

Penyeludup sanggup bertindak kejam dengan menyumbat haiwan berkenaan di dalam botol. Spesies burung yang sering ditemui di sekitar Indonesia dan Timor Leste itu boleh membesar sehingga mencecah ukuran 35 sentimeter dan bernilai RM3,623 seekor.

Sementara itu pihak kerajaan Indonesia disarankan supaya mengambil perhatian serius terhadap aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan haiwan yang kini telah menjadi perniagaan transnasional.

Dagangan haram kulit-kulit reptilia juga adalah antara penyebab-penyebab terbesar dalam jenayah hidupan liar.

PBB mengesyorkan atau memperakukan yang setiap kerajaan meluluskan rang undang-undang yang lebih ketat bagi menangani jenayah hidupan liar.

Namun kita tidak dapat lari daripada kesedaran bahawa pedagang-pedagang haram ini amat bijak dan licin mengesan kelemahan-kelemahan dalam perundangan.

PBB memperakukan lebih banyak perhatian perlu diberi kepada pengkuatkuasa undang-undang bagi membanteras jenayah haram hidupan liar.

Download PDF