Pelindung dan pembela puak evangelis sebenarnya bersubahat

388
0

Temuramah eksklusif wartawan Menara dengan CEO Iksim

Putrajaya: Segala bentuk pengucapan atau perbuatan yang mengganggu kedaulatan negara perlu diambil tindakan segera. Ini tidak terbatas kepada gerakan evangelikal sahaja, bahkan setiap yang berbentuk sedemikian termasuk ekstremisme agama.

Menurut Dato’ Prof. Mahamad Naser Disa – gambar atas – ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) lagi, jika gerakan sebegini dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan tidak diendahkah, ia akan berkembang menjadi marak hingga tidak mampu dikawal dan mudah bagi mereka untuk memusnahkan kedaulatan negara.

Justeru kanun keseksaan di dalam bab VI menjadikan sebarang bentuk niat, hasrat atau perancangan untuk menumbangkan kedaulatan negara sebagai satu kesalahan berat, maka ia tergolong dalam kesalahan keselamatan di bawah Sosma.

⇓  “Allow me to chase away the enemy in this city” — petikan promosi bagi acara Johor for Jesus

Perbuatan seperti menganjurkan program ‘Johor for Jesus‘ dan ‘Jerusalem Jubilee‘ kelihatan seperti perhimpunan keagamaan biasa sahaja tetapi terbukti dari penganjuran-penganjuran yang lepas, ucapan-ucapan penganjur dan pemimpin evangelis serta pekikan yang dilaungkan oleh para hadirin amat bersifat ekstrim dan jelas menyatakan hasrat dan tekad untuk meruntuhkan kedaulatan negara dan digantikan dengan kedaulatan Kingdom of God yang berasaskan agama Kristian,” tegas Dato’ Mahamad Naser.

“Penggunaan ayat-ayat seperti ‘Kingdom of God‘ dan “Allow me to chase away the enemy in this city” memberi gambaran seolah-olah bukan Kristian dan umat Islam khasnya adalah musuh kepada penduduk Kristian di negara ini, maka akan berlaku penyingkiran dalam pemerintahan negara dan pemerintahan sedia ada akan digantikan dengan satu bentuk pemerintahan berasaskan agama Kristian,” ujar beliau lagi.

⇓  ‘Johor for Jesus’: Christians want to “take possession of the land”

Beliau juga berpendapat bahawa, pelindung dan pembela pelampau gerakan evangelis perlu merenung masa depan negara dan seluruh rakyat Malaysia. Kedaulatan dan keselamatan negara tidak boleh digadai hanya atas nama hak kebebasan beragama jika mereka memahami erti sebenar serial-seruan melampau ekstremis evangelis tersebut.

“Kenyataan-kenyataan mereka perlu dinilai dari perspektif keselamatan dan kedaulatan negara yang jelas tergolong dalam bab VI kesalahan-kesalahan terhadap negara seperti yang tersenarai dalam beberapa seksyen kanun keseksaan.

Kita tak perlukan undang-undang baru untuk menyekat pelampau evangelis ini, kita hanya perlu kuatkuasakan undang-undang sedia ada dengan menyiasat kenyataan-kenyataan yang mereka buat,” kata Dato’ Prof Mahamad Naser lagi.

Tegas Dato’ Prof Mahamed Naser, Malaysia adalah sebuah negara Islam dan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan Ketua Negara adalah Yang Di-Pertuan Agung yang bersumpah untuk memelihara agama Islam. Maka sebarang usaha untuk mengubah pemerintahan negara ini kepada sesuatu yang terang dan nyata menyanggahi Islam terbukti menggugat kedaulatan negara.

Terdapat elemen-elemen campur tangan asing di dalam rencana evangelikal, campurtangan oleh pertubuhan-pertubuhan dari luar negara yang menyalurkan dana dan kepakaran untuk mengembangkan agama Kristian hingga ke tahap menumbangkan kedaulatan negara di tanah air yang tercinta ini, tegas beliau lagi.

Melihat kepada perkembangan terkini gerakan pelampau evangelikal ini negara berhadapan dengan ancaman keselamatan baru tanpa segan menyeru ke arah disaffection atau ketidak setiaan kepada Yang Di-Pertuan Agung atau Raja-raja.

Justeru segala bentuk gerakan yang menggugat kedaulatan negara merupakan satu ancaman yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Jika IS menjadi ancaman kerana ingin menubuhkan negara Islam di Iraq dan Syria, pelampau gerakan evangelikal berhasrat untuk mendirikan negara Kristian di Malaysia dan perancangan gerakan ini telah pun bermula di sini sejak puluhan tahun yang lalu dengan mendapat dana yang besar dari dalam dan luar negara.

Perlu diingat kanun keseksaan juga menjadikan perbuatan menyembunyikan gerakan yang mengancam kedaulatan negara sebegini juga sebagai satu kesalahan yang berat.

Semua pihak perlu peka kepada kegiatan sebegini dan mematuhi undang-undang dan kedaulatan negara.

Sumber: Menara

Download PDF