RUU 355: Ke arah memartabat kedaulatan Islam

410
0

Oleh Zainal Zainuddin

Pada prinsipnya, apabila kita sudah bersyahadah dan mengaku Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb, maka kita sudah dan sepatutnya menerima Allah SWT sebagai Maha Pencipta. Maka Dialah Yang Wajib Disembah kerana Dialah yang mengatur sistem hidup, alam dan kemanusiaan. Begitu juga, apabila kita telah terima Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulu’Llah, itu bermakna kita terima bahawasanya Rasulu’Llah menerima Syari‘at Allah untuk membimbing dan menunjuk-ajar kehidupan manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT.[1]

Dengan penyaksian berkenaan, sesungguhnya ia juga bermakna kita telah sewajibnya menerima bahawa Islam dengan segala sistem aqidah, syariah dan akhlaknya, adalah agama yang lengkap-sempurna untuk seluruh manusia sebagaimana dijanjikan Allah dalam Al-Quran dan diperjelaskan oleh Nabi SAW. Selanjutnya ia juga membawa erti bahawa selagi hukum Allah yang ditanzilkan dalam Al-Quran tidak didaulatkan, maka selagi itulah bencana akan menimpa kita di muka bumi ini dan negara kita Malaysia tidaklah berkecuali.[2]

Inilah naratif Islam yang sahih, suci lagi murni yang diambil daripada sumber-sumber Al-Quran dan Hadith yang sahih.[3] Dalam hal ini, janganlah umat Melayu-Islam kita lupa bahawa, udara keislaman yang dapat dihirup oleh mereka pada hari ini, kelahiran ramai kalangan asatizah yang terdidik dalam aliran agama, adalah sebahagian daripada hasil perjuang para ulamak Islam lampau di Tanah Melayu sejak dari sebelum merdeka berlanjutan sehingga post-Independence.[4]

Usaha yang amat perlu kini ialah melanjutkan dakwah sehingga Islam terlaksana sepenuhnya secara berperingkat dan seluruh rakyat Malaysia termasuk yang bukan Islam, dapat memahami Islam sekurang-kurangnya pada peringkat dapat melihat kebaikan syariah sebagai usaha awal ke arah pelaksaanaan syariah yang lebih luas demi memelihara kesejahteraan umat Islam dan rakyat Malaysia amnya.

Dalam hubung-kait ini, sebarang usaha untuk memartabatkan undang-undang Islam dan menguat-kuatkuasakannya sedapat mungkin dalam kerangka dan konteks perlembagaan persekutuan di negara ini perlu mendapat sokongan padu seluruh umat Islam termasuklah isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) untuk meminda Akta 355 dengan maksud untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.[5]

Malaysia TIDAK mengamalkan sistem sekular

Renjatan psikologi, kegelisahan dan trauma yang menghantui minda umat Melayu-Islam kini termasuklah juga fobia dan persepsi bahawa “hukum-hukum syariah Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana perlembagaan Malaysia mengamalkan sistem sekular, berteraskan masyarakat berbilang kaum[6] yang mesti kita hadapi sepenuhnya dengan ilmu dan pendekatan penuh hikmah. Umpamanya sanggahan kuat ini turut berkumandang di kalangan ahli politik dan pemimpin kaum bukan Islam atas premis cadangan RUU355 bertentangan dengan peruntukan perlembagaan persekutuan.[7]

Malah ia turut disokong oleh beberapa kalangan ahli politik pembangkang beragama Islam dengan membawa pelbagai hujah, antaranya konon cadangan pindaan berkenaan bertentangan dengan prinsip-prinsip maqasid syariah dan tidak selari dengan Islam sebagai rahmatan l’il ‘alamin.[8] Cadangan pindaan itu dianggap kurang lengkap lalu mereka kemukakan cadangan balas pindaan Akta 355nya sendiri[9] yang kemudiannya ditolak oleh parlimen yang bersidang ketika itu.

Sebenarnya kesemua sanggahan ini hanyalah kitaran semula hujah-hujah lapok yang pernah dibawa oleh penjajah British apabila mereka berkata kepada para Sultan dan ketua penghulu lampau bahawa “soal pemerintahan dan urusan pentadbiran negeri akan ditadbir oleh British dan para Sultan dan Penghulu hanya perlu mentadbir hal-ehwal adat-istiadat orang-orang Melayu dan agama Islam.[10] Pada ketika itu, orang Melayu yang memahami pengertian Islam sebagai ad-Din yang tidak memisahkan urusan agama daripada peraturan hidup tidak melawan kerana bagi mereka ketika itu, “mentadbir hal-ehwal adat-istiadat orang-orang Melayu dan agama Islam” bererti “memerintah keseluruhannya termasuk hal ehwal dan urusan pemerintahan negeri-negeri Melayu.”

Namun kemudiannya barulah orang-orang Melayu-Islam sedar akan falsafah divide and rule British dan sekaligus British berjaya melaksanakan proses sekularisasi di negeri-negeri Melayu. Satu perkara yang mesti kita pelajari ialah: apabila Melaka jatuh di tangan Portugis pada tahun 1511 dan Belanda pada tahun 1642, aspek sekularisasi itu sudah pun bermula dan diteruskan oleh pihak British. Kolonialisasi bukan semata-mata untuk memperluaskan wilayah penguasaan Inggeris tetapi juga “mengInggeriskan” anak-anak peribumi wilayah-wilayah berkenaan pada masa akan datang termasuklah agenda Kristianisasi.[11]

Inilah dilema Melayu-Islam yang sebenarnya, bukan dilema yang hanya terhad kepada faktor penguasaan harta kekayaan di dalam negara sahaja.[12] Naratif bahawa Islam tidak boleh dilaksanakan dalam masyarakat majmuk, sudah dinafikan oleh corak pemerintahan negara Islam oleh baginda al-Rasul SAW sendiri di Negara Islam Madinah[13] dengan wujudnya perlembagaan bertulis pertama[14] di dunia. Dalam hal ini kita berasa hairan juga mengapa isu lapok ini masih dimainkan dalam minda orang Melayu-Islam Malaysia?

Secara mudahnya, dalam konteks cadangan RUU355 berkenaan, jika Akta 355 sudah diluluskan sejak tahun 1965 dan diluluskan pula pindaannya pada tahun 1984 tanpa sebarang kekecohan berbanding sekarang ini, tidaklah masuk akal jika RUU355 itu sekali lagi dianggap bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Oleh yang demikian, ada benarnya jika disebutkan bahawa, di samping pengaruh liberalisme-sekularisme yang cukup menebal, perkara ini mudah berlaku juga kerana ada tanggapan pimpinan Melayu-Islam yang masih belum bersedia untuk menerima Islam secara keseluruhannya dalam urusan pentadbiran negara kerana terlalu menjaga pertimbangan politik dan mood pengundi di kawasan parlimen masing-masing![15]

Himpunan menyokong RUU 355

Dalam hal ini, sebagai Muslim yang terikat dengan al-Quran dan Sunnah al-Rasul SAW, marilah kita kembali kepada teks sahih Islam yang melarang umatnya mengambil sebahagian Islam tetapi menolak sebahagian yang lain:[16]

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Apakah kamu hanya beriman kepada sebahagian (dari isi) Kitab (Taurat) dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Hakikat keteguhan kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang tegak berdiri berkurun lamanya itu diperkukuhkan lagi dengan pemakaian Kanun-Kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang jelas berlandaskan hukum syarak. Cuba kita perhatikan setiap ayat yang cukup tegas dan jelas yang termaktub dalam mukaddimah Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan (99) Perak sebagai berikut:-[17]

“Jika didirikan hukum Qur’an dengan hukum undang-undang di dalam sebuah negeri nescaya amanlah isi negeri itu. Maka barangsiapa tiada mengikut hukum seperti yang tersebut di dalam  undang-undang, maka orang itu duduk di luar negeri, diam dalam hutan. Maka amanlah orang memerintah negeri. Jika tiada mau memakai undang-undang dan hukum Quran, maka tersebut di dalam undang-undang orang itu tiada boleh memegang perintah di dalam negeri.”

Usul Rang Undang-Undang (RUU) 355 bukanlah isu remeh. Begitupun, ia adalah amat mudah untuk difahami kerana cadangan itu straight forward dan tidak melibatkan bentuk hukuman baru selain daripada yang sedia ada dalam Akta 355.[18] Namun pindaan akta ini boleh memberikan kesan yang mendalam ke atas jati diri umat Islam di negara ini.  Sebagaimana undang-undang lain yang sudah begitu lama tidak dipinda, RUU 355 perlu dipinda demi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memartabatkan kedaulatan Islam dalam kerangka perlembagaan negara.

Lebih penting daripada itu, ia berupa salah satu jalan yang bakal menyelamatkan umat Islam daripada terus ditanggung dosa ditadbir oleh undang-undang sivil yang jauh daripada syariah khususnya mengenai isu-isu Islam berkaitan individu dan keluarga.

Apabila kita berbicara tentang “pelaksanaan syariah dalam perundangan negara” di peringkat ini, barangkali ada mufti, ulamak, cendekiawan serta sarjana tempatan kita sendiri masih berpandangan bahawa “kita nak bubarkan perlembagaan sedia ada 100% dan gantikannya dengan Undang-Undang Syariah 100%.” Inilah fahaman silap atau lebih tepat lagi isu yang di’spin’ dan diputarbelitkan oleh pihak tertentu, terutamanya pembangkang, untuk menakut-nakutkan rakyat yang bukan beragama Islam kononnya terdapat usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud sebagai perundangan negara menggantikan undang-undang sivil.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, agama dan budaya. Wujudnya kontrak sosial yang sudah dimeterai dan disepakati antara kaum ketika itu adalah untuk membina sebuah Malaysia atas prinsip dan semangat yang dipersetujui bersama seperti yang terangkum dalam Perlembagaan Persekutuan 1957.

Namun demikian, dari masa ke semasa beberapa pindaan peruntukan perlembagaan itu dilakukan, undang-undang lapok dihapuskan dan undang-undang baru diperkenalkan oleh kerajaan yang memerintah demi memantapkan pengurusan negara, menyusun-atur sistem sosial, ekonomi dan politik  demi memelihara dan menjaga keharmonian semua warga.

Dalam konteks warga beragama Islam, pengurusan berteraskan syariah dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Negeri dan hanya terpakai ke atas orang-orang Islam yang melibatkan urusan nikah-cerai, harta pusaka, kesalahan jenayah syariah Islam dan sebagainya termasuklah sebagaimana yang dibenarkan di bawah Akta 355. Undang-undang berdasarkan syariah ini bukanlah perkara baru yang dikenakan ke atas warganegara beragama Islam.

Suruhanjaya Reid

Sejarah sudah membuktikan bahawa, sebelum wujudnya Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan kemudiannya Malaysia (1963), undang-undang Islam pernah dan telah lama diamalkan dan dikanunkan sebagai undang-undang negeri-negeri Melayu di bawah urus-tadbir raja-raja Melayu yang berdaulat penuh di atas negeri-negeri berkenaan sebagaimana dijelaskan sebelum ini.

Dan sejarah juga telah membuktikan bahawa semua undang-undang Islam negeri-negeri Melayu itu pada dasarnya adalah berpunca daripada undang-undang kerajaan Melayu-Islam Melaka. Lebih menarik lagi, para sarjana perundangan memperakukan bahawa Perlembagaan Persekutuan 1957 mempunyai akar dan susur galurnya dalam Undang-Undang Kerajaan Melayu-Islam Melaka![19]

Satu fakta penting yang perlu kita sedar dan fahami ialah undang-undang berteraskan Islam yang dikenakan ke atas umat Islam di negara ini, telah dikekalkan oleh Suruhanjaya Reid yang mengkaji cadangan perlembagaan persekutuan sebelum merdeka  mengambilkira kewujudannya beratus tahun sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu. Atas premis sedemikianlah, banyak pendapat mengatakan bahawa Islam memang merupakan lex loci of the land – perundangan Malaysia[20] – dan sebarang undang-undang baru mesti selari dengan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana mengikut peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.[21]

Hakikat bahawa undang-undang Islam bukanlah “undang-undang asing” di Tanah Melayu sudah dibuktikan secara ilmiah dan juga dokumen-dokumen perundangan negeri-negeri sedia ada. Jadi, tidak mustahil jika sekian banyak peruntukan undang-undang Islam dikekalkan oleh Suruhajaya Reid ketika itu untuk diselaraskan dengan perlembagaan persekutuan. Begitu juga, banyak bukti sahih raja-raja berkuasa penuh atas urusan agama negeri-negeri dan wujudnya pelbagai struktur Mahkamah Syariah negeri-negeri[22] dengan mudah mematikan hujah kosong mereka yang menolak undang-undang syariah tanpa kajian yang mendalam, apatah lagi bagi mereka yang buta sejarah.

Oleh itu, adalah jelas bahawa perjuangan menyokong pindaan RUU 355 adalah manifestasi langsung kepada usaha-usaha ke arah memartabat dan mendaulatkan Islam sebagai agama negara.[23]


Zainal Zainuddin adalah felo Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim)

NOTA KAKI:

[1] Qutb, Sayyid. (2010). Tafsir Fi Zilalil Quran (Di Bawah Bayangan Al-Qur’an). Terj. Dato’ Yusoff Zaky Yacob.  Kota Bharu: Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.

[2] Lihat Ahmad, Khurshid. (1980).  Islam – Its Meaning and Message. Leicester: The Islamic Foundation.

[3] Maududi, A.A. (1986).  Asas-Asas Islam. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.

[4] Othman, W.A.R.W (2009). Kepimpinan Ulamak: Membangun Bersama Islam. Kuala Lumpur: Nufair Street.

[5] Salleh, Fuad M. & Zainuddin, Zainal. (2016). RUU 355: Tolak @ Terima? Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) – Akta 355. Kuala Lumpur: Imtiyaz Multimedia and Publications.

[6] Lihat umpamanya dalam https://dapmalaysia.org/en/statements/2016/06/25/23419/.

[7] Sila tonton pembentangan RUU 355 sepenuhnya dalam berita Astro Awani menerusi http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mca-tetap-bertegas-tidak-sokong-ruu-355-124406.

[8] Lihat umpamanya dalam  https://www.roketkini.com/2016/07/26/tegakkan-maqasid-syariah-dahulu-baru-cerita-tentang-hudud-zairil/.

[9] http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/10/18/usul-amanah-lebih-lengkap-berbanding-ruu-hadi-kata-khalid/.

[10] Disa, M.N. (2016). Daulatkan Islam Agama Negara – DIAN. Putrajaya: Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), hlm. 10-11.

[11] Fadhil Fadhil, Siddiq. (1983). Kebangkitan Umat. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

[12] Lihat perspektif dilema orang Melayu yang dikemukakan oleh mantan Perdana Menteri seperti dalam  Mohamad, M. (1970). The Malay Dilemma. Kuala Lumpur: Federal Publications Sdn. Bhd.

[13] Ibrahim, Ahmad dan El-Qasimy, D. (1985). Piagam Madinah: Pandangan & Ulasan. Terj. Abu Bakar Hamzah. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif.

[14] Hamidullah, M. (1975). The First Written Constitution in the World. Lahore: Ashraf Publishing House. Lihat juga Umari, A.D. (1995). Medinan Society at the Time of the Prophet. Virgina: The International of Institute of Islamic Thought.

[15] Sila lihat http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/11/27/ruu-355-yang-tiada-keuntungan-politik/.

[16] Al-Qur’an, surah al-Baqarah: 85.

[17] Harun, J. (2008). Undang-Undang Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan. Pulau Pinang: Penerbit USM.

[18] Fuad Mohd Salleh & Zainal Zainuddin. (2016).  RUU 355: Tolak @ Terima? Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) – Akta 355. Kuala Lumpur: Imtiyah Multimedia and Publications.

[19] Lihat umpamanya  Ibrahim, Ahmad. (1975). Islamic law in Malaya, Singapore: Malaysian Sociological Research Institute Ltd.; Majid, Mahmood Zuhdi A. (1997), Pengantar Undang-Undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya; Abdul Aziz, Bari. (2009). Konsep Raja Berperlembagaan Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, ms. 91-108 dalam Kumpulan Kertas Kerja Seminar 60 Tahun Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu – Asas Negara Merdeka. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia dan Wan Ahmad Fauzi, Wan Husain et al dalam “Raja-Raja Dalam Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957: Satu Kajian Sejarah Perundangan”,  Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 Universiti Sultan Zainal Abidin ISSN 0127-9386.

[20] Lihat umpamanya pandangan Prof. Mahamad Naser Disa, CEO Iksim dan merupakan  bekas peguam kanan Jabatan Peguam Negara dalam Disa, M.N. (2016). Daulatkan Islam Agama Negara – DIAN. Putrajaya: Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), hlm. 5-8.

[21] Lihat pandangan tegas oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim dalam https://www.menara.my/undang-undang-malaysia-mesti-selari-dengan-islam-tun-ariffin-zakaria/.

[22] Lihat Aziz, Shamrahayu A. (2016). Isu Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 12-16.

[23] Disa, M.N. (2016). Daulatkan Islam Agama Negara – DIAN. Putrajaya: Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim).

 

Download PDF