Siapa buta sejarah?

194
0

 

Irshad Manji adalah seorang LGBT Muslim yang terkemuka.

Karya beliau berjudul Allah, Kebebasan Dan Cinta telah diterbitkan oleh ZI Publications – sebuah syarikat milik Zaid Ibrahim. Ia diterjemahkan daripada penulisan asalnya dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Allah, Liberty and Love.

Buku tersebut sudah diharam oleh kerajaan Malaysia. Namun masih ada para pejuang kebebasan yang beria-ia menentang pengharaman karya Irshad Manji itu.

Azrul Mohd Khalib, seorang penggiat NGO yang mendokong hak asasi LGBT, umpamanya telah berkata “hanya si pemalas dan si pengecut sahaja yang akan mengkehendaki sesuatu benda itu diharamkan” (“Banning is the way of cowards and lazy people”.)

⇓  Azrul Mohd Khalib juga pengasas gerakan Bebas

Rencana Azrul bertarikh 3 Nov 2014 ‘On books, cowards and lazy people’ dimuatnaik ke laman Pemandu beralamat di http://gtp.pemandu.gov.my. Pemandu merupakan sebuah badan yang ditanggung belanjawan Pejabat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Jamil Khir Baharom, Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri dan timbalannya Asyraf Wajdi Dusuki agak wajar meneliti bagaimana gejala liberalisme yang sebegitu menyimpang boleh berjaya menular ke wadah Pemandu – sebuah badan yang dibiayai PMO.

Pembela-pembela Irshad Manji – termasuk yang berada dalam organisasi Pemandu nampaknya – menganggap isu lesbian digalas kebebasan sastera. Mereka mahu seseorang penulis diberikan kebebasan bersuara yang seluas-luasnya meskipun suara itu sumbing dan ceritanya terasa jelik sekali.

Buku fahaman serong Allah, Kebebasan Dan Cinta diterima pejuang kebebasan tempatan kita tetapi novel Interlok pula ditentang hebat sehinggakan berbuah-buah air liur di bibir mereka.

Cuba campurtangan dalam sukatan pelajaran

Interlok sebuah hasil tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Novel tersebut dijadikan bahan bacaan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu komponen sastera Tingkatan 5.

Para pengkritik lantang membantah atas alasan Interlok membawa isu perkauman menerusi penggunaan perkataan ‘pariah’ bagi merujuk kepada pendatang India.

Mereka turut mendakwa Interlok memporak-perandakan negara dan mahu supaya ia diharamkan.

Siapakah yang sebenarnya memecah-belahkan masyarakat majmuk dalam negara ini? Adakah mereka yang bertahun-tahun membawa perbincangan sihat tentang nilai majmuk dalam karya sastera mereka atau ‘pejuang kebebasan’ yang enggan menghormati peruntukan undang-undang dan perlembagaan tempatan?

Puak liberal yang seringkali menjerit-pekikkan istilah hak dan kebebasan bersuara, kali ini menuntut pula penyekatan sesuatu karya. Inilah doktrin double standard.

⇓  Dr Lim Teck Ghee duduk di tengah

Sejarah ‘sebenar’ dari kacamata kaum minoriti

Di antara mereka yang membuat ulasan buku Interlok ialah Dr Lim Teck Ghee – salah seorang pelopor Kempen Sejarah Malaysia Sebenar.

Dalam kata Dr Lim sendiri, tujuan kempen adalah:

“It urges a review of the History curriculum which contains many shortcomings, including the overt and overly Islamic and Malay-centric slant, factual errors, half-truths, value judgments and politically motivated content.”

Kritikan lepas Dr Lim terhadap Interlok kini dikitar semula dalam buku barunya berjudul Challenging Malaysia’s Status Quo yang dilancarkan semalam.

Dalam rencananya ‘Interlok: Time to make a stand’, Dr Lim menggesa agar orangramai menyatakan penentangan mereka terhadap pemakaian Interlok sebagai teks sastera di sekolah menengah.

Secara ringkasnya, yang dipakai Dr Lim adalah: Perkauman dalam Interlok terhadap kaum India dan Cina adalah salah. Perkauman menentang ketuanan Melayu adalah bagus.

Pada pandangan beliau, Interlok kononnya telah dipilih khas untuk meneruskan proses “indoktrinasi” kerajaan melalui program Biro Tata Negara. Menurut hujah Dr Lim, BTN hanya bertujuan untuk meracuni minda orang muda untuk melihat naratif kebangsaan ala Umno.

Dr Lim mengutuk BTN kerana mengikut katanya program ini membenarkan kerajaan mencuci otak serentak menanam fahaman ‘3K’ – Ketuanan Umno, Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam.

Ketuanan sekular menolak naratif kebangsaan

Kebencian Dr Lim kepada 3K langsung tidak cuba disembunyikan.

Malahan beliau turut menceritakan bagaimana zalimnya kerajaan memaksa laporan rasmi yang dihantar kepada kerajaan – contohnya sebuah kertas kerja yang dihalusi Yong Poh Kon bagi pihak Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) pada tahun 1991 – haruslah disediakan dalam Bahasa Melayu.

Bagi Dr Lim ini adalah arahan remeh walaupun sebetulnya ia adalah selari dengan peruntukan dalam Perkara 152 perlembagaan persekutuan yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia.

Dr Lim seolah-olah hanya menyokong mereka yang mencemarkan elemen lapuk dalam negara, baik dari segi bahasa, pengajaran mahupun sejarah. Asalkan apa yang dikatakan mengecam Ketuanan Melayu, itulah yang akan disokong Dr Lim, bukan?

Jadi penentangan terhadap Interlok yang mencerita kisah sebenar menurut sudut pandangan khusus seorang Melayu tidak akan diterima melainkan pandangan itu mengecam kelangsungan naratif kebangsaan.

Mungkin Interlok akan diterima Dr Lim jika yang dikatakan rasis dalam buku itu bukanlah perkauman terhadap kaum India atau kaum Cina tetapi terhadap kaum Melayu. Maklumlah apa saja yang berkaitan dengan Ketuanan Melayu keji dimatanya.

Jika benar negara ini semakin tenat seperti yang dikatakan Dr Lim, yang menyebabkan penyakit barah terus merebak adalah mereka yang menyokong kaedah pemikiran seperti Dr Lim. Mereka ini yang menidakkan undang-undang, perlembagaan, fakta dan sejarah.

Download PDF