Tanah Melayu sebenarnya milik orang Melayu

6043
0

Oleh Mohd Khairul Anwar al-Idrus

Telah banyak kali tajuk ini dibincangkan dalam pelbagai platform; dari dewan kuliah universiti, saluran media hinggalah ke perbahasan dalam Dewan Rakyat.[1] Malah ia juga pernah menjadi penghakiman bertulis oleh para hakim yang bijaksana dalam mahkamah negara.[2]

Kesimpulan awal yang boleh kita perolehi: Ramai penulis menulis dengan maksud dan tujuan tersendiri; jarang yang berani mengupas secara ilmiah tanpa prejudis dan keterikatan dengan fahaman kumpulan yang ia anggotai.

Ini masalahnya apabila seseorang menulis secara selektif dan mengambil sebahagian yang menyokong ideanya dan menolak yang sebahagian lain yang benar kerana bertentangan dengan hasrat, fikrah, agenda dan tujuan asalnya.

Demikianlah apa yang terjadi kepada Joshua Woo Sze Zeng dalam rencananya, ‘Happy 60th Merdeka as secular federation’ dalam Malay Mail Online bertarikh 31 Ogos 2017.

Diulang-ulang mentera ‘sekular’ yang tak menjadi

Kita tidak terkejut langsung dengan kenyataan Joshua itu kerana ‘sekularisme’ adalah isu lama yang sudah diselesaikan dalam dunia ilmiah semasa. Ia tiada kesan ke atas sebahagian besar penduduk Malaysia yang sudah boleh menilai tujuan rencana berkenaan ditulis.

Apatah lagi tulisan tersebut oleh evangelis DAP yang juga merupakan seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Barangkali Joshua Woo tidak terbaca tulisan-tulisan ahli akademik yang begitu banyak di dalam bentuk buku, jurnal dan juga di dalam media tempatan mengenai kedudukan Islam dalam perlembagaan.


5 reasons why Malaysia is not a secular country — baca SINI

 


Di antaranya ialah kertas kerja Dr Abdul Aziz Bari [3] yang berjudul, ‘Konsep raja berperlembagaan dalam perjanjian persekutuan Tanah Melayu 1948′ dalam kumpulan kertas kerja seminar ’60 tahun penubuhan persekutuan Tanah Melayu asas negara merdeka’ [4] di mana beliau telah menulis:

“Berbalik kepada kedudukan di dalam sistem tradisional ramai sarjana yang kelihatannya terkeliru dengan apa yang terpapar di dalam Kanun Melaka yang pada hakikatnya adalah perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka. Mereka menyimpulkan bahawa melihat peruntukan-peruntukan di dalam kanun tersebut Raja Melaka mempunyai kuasa mutlak. Tanggapan ini timbul kerana mereka jahil tentang kedudukan dan peranan Raja dalam pemerintahan: mereka bertanggungjawab kepada Allah SWT di dalam memastikan pelaksanaan hukum-hukum Islam. Sarjana-sarjana berkenaan jelas tidak memahami hakikat hukum Islam yang sebenarnya adalah manifestasi kedaulatan mutlak Allah SWT. Kita mesti ingat bahawa Kanun Melaka adalah sebuah kanun perundangan yang berteraskan hukum Islam – yang turut mengandungi hukum hudud dan qisas – sebagaimana yang dihuraikan dalam mazhab Syafi’i. Dengan kata lain, Kanun Melaka bukanlah kanun yang memperincikan kehendak dan hukum yang ditentukan oleh Raja Melaka. Mungkin perlu disebutkan di sini bahawa kesedaran atau ilmu perlembagaan Islam perlu sebelum seseorang itu cuba mentafsir kandungan Kanun Melaka itu. Ilmu dan metodologi sejarah sahaja tidak mencukupi untuk kita memahami kedudukan dan konteks Kanun Melaka kerana sebenarnya ialah adalah sebuah dokumen undang-undang perlembagaan. Meskipun begitu perlembagaan kita tidak harus difahami dalam konteks undang-undang perlembagaan Inggeris kerana kita masih mengekalkan kedudukan Islam di dalam sistem perlembagaan dan perundangan kita.” [5]

Hakikat bahawa bahawa perlembagaan persekutuan 1957 adalah bersumberkan perlembagaan persekutuan tahun 1948 adalah fakta yang sudah disepakati ahli perundangan dan sejarah Tanah Melayu.[6] Begitu juga dengan fakta bahawa perlembagaan persekutuan 1948 adalah berasaskan Kanun Melaka yang menjadi teras perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana dihuraikan di atas.[7]

Dalam hal ini elok kita perhatikan bahawa [8]:

“Bantahan pemimpin non-muslim itu disokong pula oleh golongan liberal atas alasan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Penghujahan mereka seolah-olah menafikan kewujudan Perlembagaan dan Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Hari Merdeka. Suatu fakta yang perlu dihormati dan tidak boleh disisihkan oleh mana-mana pihak bahawa Semenanjung Tanah Melayu sudah mempunyai konsep dan atatcara pemerintahan yang berstatus perlembagaan bertulis sewal penggubalan dan perlaksanaan Kanun Melaka, dan perlembagaan-perlembagaan negeri sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekututan Tanah Melayu pada tahun 1957.”

Di sinilah yang kita maksudkan supaya rakyat kita, generasi tua dan muda, jangan sekali-kali lupa pada hakikat sejarah benar sesebuah negara itu.

Kapten Francis Light menaikkan bendera Union Jack di Pulau Pinang

Sebelum British datang bawa common law mereka

Sebelum sebuah ‘Tanah Melayu’ muncul pada 31 Ogos 1957 sebagai sebuah negara bangsa (nation state) yang merdeka lagi berdaulat lengkap-sempurnanya dengan sebuah perlembagaan persekutuannya sebagaimana adanya pada hari ini, bahawasanya beratus tahun sebelumnya telah wujud sebuah tamadun unggul berupa kerajaan-kerajaan Melayu Lama yang juga mempunyai ‘undang-undang tubuh’nya yang kita kini istilahkan sebagai ‘perlembagaan’.[9]

Malah menurut rekod sejarah perundangan negara, sebelum lahirnya kanun Melaka yang berteraskan Islam sebagai dasar pemerintahannya itu, di sana telah sedia wujud juga sebuah kerajaan Melayu lama lengkap dengan sebuah ‘perlembagaan Melaka tua’ [10] yang sudahpun mempunyai sebuah struktur undang-undang tubuhnya atau perlembagaan yang berasaskan adat istiadat Melayu bersumberkan sebuah wa’adat [11] berupa wasiat ulung yang termeterai di antara Sang Sapurba (mewakili golongan DiRaja) dan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat jelata).

Di situlah bermulanya undang-undang watan (law of the land) yang menjadi teras sejarah perundangan Melayu sebelum kehadiran undang-undang Islam dan common law Inggeris.[12]

Dalam hal ini salah seorang mahaguru perundangan Malaysia, Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim telah mengungkapkan di awal perenggan buku klasik sejarah perundangannya mengenai betapa pentingnya undang-undang adat yang terpakai di Malaya, jauh sebelum kehadiran English Law:

“When Roland Braddell published the Laws of the Straits Settlements in 1915, the Straits Settlements were still the most important of the areas under the British influence in South East Asia. It was still possible for him to devote the chapter on ‘Legal History’ to what is in effect an account of the reception of English law in the Straits Settlements. Legal history begins with the acquisition of Penang in 1786 and the Charters of Justice of 1807, 1826 and 1885. By the time the Federation of Malaya was constituted in 1947, the position had changed somewhat and would have been less true to say that the legal history of Malaya began with the introduction of English law into Malaya. But as the Civil Law Enactment of 1937 had made English law in practice the basic law in the Malay States and as whatever customary law or Muslim law was followed was administered mainly outside the ordinary Courts, it was still possible to speak of the history of the law in Malaya in terms of the reception of English law. With the establishment of Malaysia, however, the emphasis has or should change. Native customary law plays a much more important part in East Malaysia than it does in West Malaysia or Singapore and one must go beyond 1786 to trace the history of the law in Malaysia. It is not that this was not always true – but the relevance of customary law has increased, the emphasis need to be changed, and it is fitting and perhaps necessary that we should take a larger perspective in Malaysia.”[13]

Seiringan dengan itu jugalah Prof. Jenali Harun [14] pernah menegaskan bahawa Undang-undang Melayu yang berteraskan adat istiadat Melayu itu berasal-usul daripada masyarakat Melayu yang mendiami Tanah Melayu. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka adalah contoh dua buah adat Melayu yang terawal dan pernah dikuatkuasakan di alam Melayu ketika itu.

Begitu juga, oleh sebab Malaysia mengamalkan juga sebahagian undang-undang Islam (di samping undang-undang sivil) yang turut terpakai ke atas orang Islam di negara kita, hukum kanun Melaka yang mengandungi semua jenis kesalahan jenayah Islam serta hukumannya merupakan bukti yang jelas bahawa undang-undang jenayah Islam digunapakai sejak zaman kesultanan Melayu Melaka lagi. [15] Di Kelantan misalnya, undang-undang jenayah Islam telah digunapakai sepenuhnya pada zaman Sultan Muhammad II. [16]

Kita sudah bentangkan pandangan sarjana betapa berkaitnya wa’adat Sang Sapura dan Demang Lebar Daun, undang-undang Melayu lama terutamanya kanun Melaka, dengan perlembagaan persekutuan tahun 1948 dan 1957. Di sana akan dapat kita lihat betapa kuatnya elemen dan peranan Islam dalam membentuk kodifikasi perundangan negara berbanding dengan dakwaan kitar semula bahawa ‘Malaysia sebuah negara sekular’ yang cuba didendangkan semula oleh Joshua Woo dengan judul rencana provokatifnya itu.

Tak habis-habis dengan wayang Cina mereka

Zaman digital dunia tanpa sempadan memudah-carakan kita untuk mengumpul maklumat untuk dapatkan sejarah sebenar kita. Yang menjadi masalah di Malaysia adalah watak cetek fikiran, berkepentingan politik sempit dan selektif yang cuba memutarbelitkan hakikat sejarah dengan khusus mengatakan Malaysia sebagai “secular federation,” yang mempunyai “federation’s secularity” dan “secular framework” selama 60 tahun.

Pemilihan istilah-istilah berkenaan dan gaya pengkisahan half-truth seperti yang telah Joshua Woo catatkan itu – walaupun menggunakan sumber sejarah termasuk Suruhanjaya Reid dan kertas putih perlembagaan persekutuan 1957 – telah di’spin’ untuk membawa maksud yang tidak tepat lagi benar.

Roh dan kisah sebenar kandungan perlembagaan persekutuan jauh daripada apa yang cuba diwayang-cinakan oleh sesiapapun. Cukup-cukuplah tu.

Jangan direndam perlembagaan persekutuan dalam acuan politik cauvinis politik kepartian yang tak habis-habis dengan agenda ingin menjatuhkan kerajaan sedia ada seperti yang sering dipopularkan oleh DAP.

Hakikatnya ialah segala cabang ranting kerangka politik DAP sudah berjaya dibongkar oleh AIDC (2017) dalam bukunya DAP: Bahaya kepada Melayu-Islam di Malaysia terbitan RED Pena Enterprise.[17]

Di bawah judul ‘Adakah Malaysia negara sekular” dalam salah sebuah bukunya [18], Aziz Bari pun sudah pernah menyentuh tentang pemikiran sikap ahli politik atau mereka yang mempunyai pemikiran politik kepartian sebagai berikut:

“Bagi sesetengah golongan jawapan kepada soalan ini ialah ‘Ya, benar!’ Bagaimanapun mungkin lebih baik jika kita cuba melihat persoalan ini dari sudut akademik kerana orang politik – dari parti apa sekalipun – tidak dapat mengelak daripada melihat sesuatu isu itu dari perpektif politik kepartaiannya. Dan ini selalu menyebabkan mereka tidak dapat menjawab sesuatu persoalan itu dengan tuntas. Orang politik – biar apa warna dan bentuk parti yang mereka wakili – sering tidak dapat mengelakkan kepentingan poltik dalam apa isu sekalipun…”[19]

Barangkali inilah masalahnya dengan Joshua Woo. Dan Aziz Bari sendiri berpendapat “di sisi undang-undang Malaysia tidak sekular atau pernah disekularkan; walaupun negara ini mungkin bukan negara Islam yang sebenar dan tulen.”

⇓  Gambar kenangan anggota Suruhanjaya Reid dan ahli-ahli keluarga mereka beserta rakan taulan

Perlembagaan tidak ada satu pun perkataan ‘secular’

Kita mulakan hujah dengan mengatakan bahawa walaupun Suruhanjaya Reid dipertanggungjawabkan menggubal sebuah ‘Perlembagaan Merdeka’ namun keputusan muktamad dan berautoriti penuh ke atas setiap perkataan dalam deraf perlembagaan itu hanya boleh dimuktamadkan oleh Raja-raja Melayu.[20] Ini adalah kerana Raja-Raja Melayulah yang telah bersetuju dan memberi perkenan kepada konsep perlembagan persekutuan 1948 yang menggantikan idea asal Malayan 1946 oleh pihak Inggeris.

Keputusan untuk memuktamadkan perkataan “Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation” telah cadangkan oleh seorang hakim beragama Islam dari Pakistan yang menganggotai Suruhanjaya Reid tersebut.

Syor asal memasukkan dan memartabatkan Islam sebagai agama perekutuan berkenaan adalah hasil cadangan sebuah memorandum penuh parti Perikatan yang menggabungkan kepentingan bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Antara lain, memo parti Perikatan itu mengesyorkan:

“it has been recommended by the Alliance that the Constitution should contain a provision declaring Islam to be the religion of the state. It was also recommended that it should be made clear in the provision that a declaration to the above effect will not impose any disability to non-Muslim citizens in professing, propagating and practising their religions, and will not prevent the State from being a secular State. As on this matter the recommendation of the Alliance was unanimous their recommendation should be accepted and a provision to the following effect should be inserted into the Constitution either after Article 2 in Part 1 or at the beginning of Part XIII.”

Setelah meneliti cadangan pihak Perikatan ketika itu, Hakim Abdul Hamid telah mengeluarkan perkataan “… will not prevent the State from being a secular State” daripada tiga cadangan asal Perikatan tersebut dan hanya menerima dua sahaja untuk disepakati dalam Suruhanjaya Reid berkenaan.[21]

Maksudnya, ungkapan “… will not prevent [Malaya] from being a secular state” dibuang oleh hakim yang berasal dari Pakistan daripada deraf muktamad laporan Reid.

Dengan demikian, tiada satu pun perkataan ‘secular’ yang terdapat di dalam perlembagaan persekutuan sehingga ke hari ini yang membolehkan sesiapa mendakwa Malaysia sebuah negara sekular.

Perlembagaan 1957 / 1948 berakar-umbikan kanun Melaka

Sebagaimana dihuraikan terdahulu, peranan Islam dalam kerajaan Melayu-Islam lama amat kuat sekali kerana Islam yang dibawa oleh para ulama dan pedagang ke Kepulauan Melayu telah membawa sebuah zaman baru, yakni “zaman yang menubuhkan bukan sahaja rupa baru bahkan juga jiwa baru” [22] kepada orang Melayu.

Ini dapat kita lihat bagaimana syariah atau undang-undang Islam dikanunkan dalam kanun Melaka, undang-undang laut Melaka, undang-undang 99 Perak dan yang tercatat dalam Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303M [23] yang cukup jelas membuktikan sebelum perlembagaan persekutuan 1957 dimuktamadkan, ia adalah bersumberkan perlembagaan persekutuan 1948 yang berakar-umbikan undang-undang kesultanan Melayu Melaka.

Atas faktor itu jugalah ada yang berpandangan bahawa Islam adalah asas kedaulatan negara yang diwarisi terus daripada kesultanan Melayu Melaka.[24]

Selain itu, kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu lama diperkukuhkan lagi dengan pemakaian kanun-kanun negeri-negeri Melayu yang disebutkan sebagai ‘Malay Digest’, yang berlandaskan syariat Islam. Ini dapat kita buktikan dalam undang-undang 99 Perak [25]:

“Jika didirikan hukum Quran dengan hukum undang-undang di dalam sebuah negeri nescaya amanlah isi negeri itu. Maka barangsiapa tiada mengikut hukum seperti yang tersebut di dalam undang-undang, maka orang itu duduk di luar negeri; diam dalam hutan. Maka amanlah orang memerintah negeri. Jika tiada mau memakai undang-undang dan hukum Quran, maka tersebut di dalam undang-undang orang itu tiada boleh memegang perintah di dalam negeri.”

Perlu juga kita fahami fakta sejarah bahawa robohnya Kota Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 bukanlah bukti keruntuhan kesultanan Melayu Melaka.[26]

Ini adalah kerana raja-raja Melayu meneruskan pemerintahan beraja di negeri-negeri lain setelah berundur dari Melaka.[27] Baginda raja-raja kekal berdaulat dengan kerajaan dan rakyat baginda sehinggalah Inggeris tiba dan memecah-belahkan pentadbiran negeri-negeri.

Sayugia diingatkan bahawa, terkecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura (yang digelar Negeri-Negeri Selat), Raja-Raja Melayu kekal berdaulat sehingga ke hari ini.[28]

Nationalist no more? Umno in 1946 struggling against the Malayan Union.

Perihal kerakyatan dan ‘Malaya for the Malays’

Begitu juga halnya, sesiapa yang lahir sebagai orang Melayu di Tanah Melayu menjadi “rakyat Raja dan yang lain bukan” [29] dan ini adalah fakta sejarah penting yang ramai orang tidak tahu atau jika tahupun barangkali tidak faham sedalam-dalamnya dalam konteks persejarahan negara.

Dengan demikian, ada benarnya pandangan bahawa Tanah Melayu sebenarnya milik orang Melayu kerana “kedudukan orang Melayu sebagai rakyat negara ini; ini adalah Tanah Orang Melayu.”

Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) yang berlangsung pada tahun 1931 di Seri Menanti sudah menetapkan “Malaya for the Malays.”[30]

Demikianlah tercatat bahan sejarah yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak yang kini sudah berwarganegara Malaysia walaupun “ada yang sudah menjadi warga Tanah Melayu tapi tak faham!”[31]

Hakikat sejarah benar seperti yang kita bentangkan di atas, berkat kudrat para sejarawan, pakar perundangan dan akademik dan betapa faktor ikatan erat agama Islam–Melayu–Raja-Raja itulah barangkali yang amat memarahkan warga atau rakyat yang tidak pandai bersyukur sebagai warganegara Malaysia.

Betapa tidaknya, orang seperti ini akan menyerap kepanasan apabila mendengar atau terbaca bahawa:

“Islam dan Melayu merupakan tonggak utama Tanah Melayu. Undang-Undang Islam digunapakai untuk mentadbir Negeri-Negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undnag-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di Negeri Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terangganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalm pentadbiran masing-masing.”[32]

Joshua mencerminkan niat biadab dan halatuju DAP

Menganalisis kembali tulisan Joshua Woo (gambar atas), adalah diperhatikan ungkapan-ungkapan seperti “secular federation”, “secular polity,” “federation’s secularity,” “secular framework,” “proposed secularity,” “would be secular,” dan “should be secular” digunakan dengan maksud penekanan dengan perulangan sebanyak 11 kali istilah “secular state” sebagai menunjukkan “betapa Malaysia dilahirkan sebagai sebuah negara sekular.”

Tekad benar si Joshua ini.

Secara konsepnya sebuah negara secular (seperti dakwaan Joshua Woo ke atas Malaysia) tidak mungkin membenarkan sekian banyak peruntukan peranan Islam dalm perlembagaan, umpamanya Perkara 3(1) dan sumpah jawatan oleh DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dengan lafaz “Wallahi, Wabillah, Watallahi” untuk memelihara Islam pada setiap masa seperti dalam Perkara 37, Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga dengan Perkara 11 (4) yang menyekat penyebaran agama lain ke atas umat Islam di negara ini, dan Perkara 12 (2) berkaitan penggunaan dana awam untuk aktiviti Islam serta sekian banyak undang-undang Islam diserapkan di bawah kuasa-kuasa negeri yang diketuai oleh raja dan sultan selaku ketua agama Islam bagi negeri-negeri.[33]

Demikian juga, adalah tidak mungkin sebuah negara sekular yang benar-benar mengasingkan elemen agama dalam pemerintah dan urustadbir negara akan membenarkan sekian banyak pengaruh Islam dalam perlembagaan persekutuan sebagaimana amalan Malaysia.

Dalam penghakiman ‘Kes Serban’ Meor Atqurrahman lwn Fatimah bte Sihi, Hakim Mohd Noor pernah berhujah bahawa maksud

“Islam sebagai agama Persekutuan” itulah ialah “Islam ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara ini … ia bukan setaraf dengan ugama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran…” [34]

Di sinilah amat malangnya sekali Joshua lebih merujuk kepada persepsi sumber yang dikutip untuk menyedapkan seleranya dengan tujuan dihumbankan ke dalam benak pembaca pada Hari Merdeka.

Jangan menulis kerana marah atau berasa dendam jika itu tujuan beliau. Dendamkan siapa, hanya dia yang tahu kerana yang lain hanya boleh mengagak maksud sebenar between the lines!

Namun pembaca yang bijak dapat membaca apa yang Joshua maksudkan dengan:

Joshua Woo telah menulis di portal MMO perenggan-perenggan seperti yang berikut:

“The Sultans, having read the memorandum, got nervous, not because of the proposed secularity, but (probably surprising to many today) due to the establishing of Islam as the official religion of the federation.”

“The royalties [sic] were anxious that their power over their Islamic subjects, the Muslims, would be eroded. Queen’s Counsel Neil Lawson, hired by the Sultans, conveyed the collective royal objection to the Reid Commission in September 1956: It is Their Highnesses’ considered view that it would not be desirable to insert some declaration such as has been suggested that the Muslim Faith or Islamic Faith be the established religion of the Federation.”

Bolehkah kata-kata beliau yang berbunyi “[…] Sultans, having read the memorandum, got nervous” tersebut dianggap sebagai mengandungi sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai biadab, mencabar kedaulatan raja-raja Melayu dan seumpamanya?

Barangkali boleh disabitkan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada – Akta Hasutan 1948 atau Kanun Keseksaan, bukan?

Pengkisahan yang dibawa oleh Joshua Woo dalam ceritanya itu amat berlainan dengan versi titah diRaja Paduka Seri Sultan Perak baru-baru ini apabila DYMM Tuanku Sultan bertitah bahawa:

“Kumpulan Kerja Pakatan Tiga Pihak, mewakili Raja-Raja Melayu, PARTI PERIKATAN dan Kerajaan Kolonial ditubuhkan, untuk meneliti perakuan Suruhanjaya Reid. Raja-Raja Melayu diwakili oleh Penyimpan Mohor Besar, Haji Mustapha Albakri, Shamsuddin Nain, Tunku Ismail dan Neil Lawson, QC; PARTI PERIKATAN diwakili oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra, Dato‟ Abdul Razak Hussein, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan; Kerajaan Kolonial, diwakili oleh Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray, Ketua Setiausaha Negara, Sir David Watherston, Peguam Negara T.V.A. Brodie, sementara E.O. Laird bertugas sebagai setiausaha. Antara 23 Februari hingga 27 April 1957, Kumpulan Kerja telah mengadakan dua puluh tiga mesyuarat, melakukan pengubahsuaian kepada perakuan asal Suruhanjaya Reid.

Antara pengubahsuaian signifikan yang dilakukan menyentuh perkara-perkara berikut:

(i) Memperkukuh peranan Majlis Raja-Raja; sebagai forum yang melantik Ketua Negara; Majlis Raja-Raja berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung urusan lantikan tertentu menurut yang termaktub di dalam Perlembagaan; dan Majlis Raja-Raja perlu dirunding dalam perkara-perkara penting seperti perubahan sempadan dan wilayah, serta perkara yang menyentuh bidang kuasa Raja.

(ii) Menggugurkan perakuan yang meletakkan batasan masa lima belas tahun untuk melindungi keistimewaan orang Melayu.

(iii) Islam dikanunkan sebagai agama Persekutuan tanpa mengubah status Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing; dan kebebasan beragama secara aman dan harmoni dijamin kepada bukan Islam.
(iv) Memberi kuasa budi bicara kepada kerajaan untuk memberi atau menolak permohonan kewarganegaraan.

(v) Memberi tempoh satu tahun kepada mereka yang memiliki dua kewarganegaraan membuat pilihan.

(vi) Membenarkan pengajaran bahasa Cina dan Tamil serta penggunaan bahasa-bahasa tersebut dalam urusan tidak rasmi.

Pastinya rakyat yang bijak akan berkata titah Paduka Seri Sultan Perak sebagai sejarah benar.

Apa lagi Joshua mahu?

Agama Islam adalah lexi loci (law of the land) sebagaimana yang telah diputuskan dalam kes Ramah lwn Laton. Pastinya keputusan itu amat menyakiti manusia seperti Joshua dan yang sekapal dengannya.

Jangan berbohong dan jangan menyimpan dendam. Dr Aziz Bari telah berkata benar seperti diungkapkan di atas. Semoga Aziz kekal istiqamah.

Demi sesungguhnya, perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, iaitu, berada dalam kelas tersendiri dan tidak sekadar dokumen undang-undang.

Perlembagaan persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang di capai ketika negara memperoleh kemerdekaan; memperlihatkan semangat persefahaman – mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak, mencerminkan satu kehalusan seni yang berjaya mengimbangkan kepentingan-kepentingan yang saling bercanggah – memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa.

Perlembagaan persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi.

Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan – aspek sejarah bernegara, berpayungkan raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa pribumi.[35]

Dan apabila bercakap mengenai Tanah Melayu, rakyat, pemimpin, raja-raja Melayu dan kemerdekaan, ada tiga faktor pengikat utama: perjuangan bangsa Melayu, kedaulatan raja-raja Melayu dan agama Islam yang mengikat kedua-dua entiti berkenaan.

Maka benarlah Titah DiRaja apabila wakil raja-raja Melayu menitahkan:[36]

“Ketika dilambung ombak globalisasi, warga perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan modenisasi, agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit. Institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan – payung mahkota negara. Institusi raja mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing; ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan diselimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.”


Nota kaki:

[1] Lihat perbahasan isu ini di Dewan Rakyat dalam Haji Maluin Sadiran (2015). Perbahasan Kedudukan Islam dalam persidangan parlimen: Suatu pengamatan. Putrajaya: Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), ms. 17-34.

[2] Lihat umpamanya huraian Mahkamah Rayuan dalam ‘kes Kalimah  Allah’, iaitu Menteri Dalam Negeri & Lain-Lain lwn Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 6 MLRA 8 di mana Mahkamah Persekutuan telah bersetuju kekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya.

[3] Tesis PhD beliau daripada Birmingham University berjudul ‘The development and role of constitutional monarchy in Malaysia’ (1996). Merupakan bekas profesor dan timbalan dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

[4] Buku berkenaan telah diterbitkan oleh Arkib Negara Malaysia (2009), Kuala Lumpur.

[5] Abdul Aziz Bari (2009). “Konsep Raja Berperlembagaan Dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948” dalam Kumpulan kertas kerja seminar 60 tahun penubuhan Persekutuan Tanah Melayu asas negara merdeka. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, ms. 92.

[6] Lihat kertas-kertas kerja selanjutnya yang dibentangkan dalam kumpulan kertas kerja seminar ’60 tahun penubuhan persekutuan Tanah Melayu asas negara merdeka’. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, terutamanya kertas kerja oleh Prof. Dr Abdul Aziz Bari op. cit. dan Prof. Madya Dr. Joseph M. Fernando berjudul, ‘Persekutuan Tanah Melayu 1948: Asas pembentukan perlembagaan negara merdeka” (ms. 78-90).

[7] Perkara ini sudah didokumentasikan dengan cukup teliti oleh sarjana seperti Prof. Andrew Harding dalam Law, Government and Constitution in Malaysia [1996]. Leiden: EJ Brill) dan juga oleh Prof. Liaw Yock Fang dalam Undang-Undang Melaka. A Critical Edition, ed. by Liaw Yock Fang, Doctoral Thesis [Proefschrift] Leiden University, The Hague: De Nederlandsche Boek- en Steendrukkerij/ Verlagshuis S. L. Smits, 1976 dan juga Naskah Undang-Undang Melaka: Suatu Tinjauan. – “Sari” N 25. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, 2007, ms. 85–94. Lihat juga umpamanya kajian oleh Wan Ahmad Fauzi Husain Wan, bawah.

[8] Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (2017). Konsep Kedaulatan Watan: Suatu Pengenalan, Kuala Lumpur: Majlis Ittihad Ummah, ms. 15.

[9] Sila rujuk juga titah ucapan Pemangku Sultan Perak semasa merasmikan Kongres Majlis agama islam negeri seluruh Malaysia 2011.

[10] Lihat Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dalam ‘Selami sejarah perundangan, Perlembagaan’ di portal berita Menara pada 9 Feb 2017.

[11] Lihat titah berupa ucaptama dan perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak berjudul ‘Konvensyen memperkukuh pasak negara: Ke arah wasiat lebih tersurat” di Hotel Mariott, Putrajaya pada 5 Ogos 2017.

[12] Lihat umpamanya kajian oleh Wan Ahmad Fauzi Husain Wan et al. ‘Raja-Raja dalam penginstitusian perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957: Satu kajian sejarah perundangan’, Journal of Nusantara Studies 2017, Vol 2(1) 27-39 Universiti Sultan Zainal Abidin. ISSN 0127-9386.

[13] Ahmad Ibrahim (1992). Towards a History of Law in Malaysia and Singapore. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, ms.1.

[14] Lihat kajian Prof. Jelani Harun (2008) dalam Undang-undang kesultanan Melayu dalam perbandingan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia dan juga (2003), Pemikiran adab ketatanegaraan kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[15] Shamrahayu A. Aziz (2016). Isu penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, ms. 13.

[16] Abdullah Alwi Hassan (1996). The administration of Islamic law in Kelantan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

[17] Sila baca bedah buku berkenaan oleh Mohd Khairul Anwar bertajuk ‘DAP impikan berkuasa penuh buat julung kalinya’ dalam laman sesawang Tanjak pada 9 Ogos 2017.

[18] Abdul Aziz Bari (2015). Perlembagaan Malaysia: Asas-asas dan masalah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, ms. 249.

[19] Abdul Aziz Bari (2009). ‘Konsep raja berperlembagaan dalam perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948’ dalam Kumpulan kertas kerja seminar 60 tahun penubuhan Persekutuan Tanah Melayu asas negara merdeka. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, ms. 92.

[20] Mahamad Naser Disa (2015). Islam asas kenegaraan Malaysia. Putrajaya: Insititut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim), ms. 2-3.

[21] Mahamad Naser Disa, ibid.

[22] Al-Attas, S.M.N. (1972). Islam dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Bangi: Penerbit UKM, ms. 3 dan 51-56.

[23] Lihat al-Attas, S.M.N. (1970). The Correct Date of the Terengganu Inscription. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Negara.

[24] Pandangan ini diperkuatkan lagi dengan peruntukan Perkara 3(1) dan Perkara 37 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan. Sila lihat Mahamad Naser Disa (2016). Daulatkan Islam agama negara. Putrajaya: Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), ms. 52-70.

[25] Jelani Harun (2008). Undang-Undang kesultanan Melayu dalam perbandingan. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, ms. 310.

[26] Mahamad Naser Disa (2016). Daulatkan Islam agama negara. Putrajaya: Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), ms. 12-13.

[27] Lihat umpamanya penjelasan ‘Sejarah perundangan Islam di negeri Pahang’ dalam laman Jabatan Kehakiman Syariah Pahang.

[28] Sila dengar penjelasan Majlis Profesor Negara bahawa Negeri-Negeri Melayu tidak pernah dijajah dalam https://www.youtube.com/watch?v=ErF__emIQUc.

[29] Lihat penjelasan tentang konsep “rakyat Raja” ini oleh Prof. Emeritus Khoo Kay Kim dalam  https://www.youtube.com/watch?v=mTQnMcAB0Z8.

[30] Khoo Kay Kim dalam wawancara seperti dalam   https://www.youtube.com/watch?v=mTQnMcAB0Z8.

[31] Khoo Kay Kim, op. cit.

[32] Lihat umpamanya tulisan Senator Dr Ashraf Wajdi Dusuki berjudul, ‘Malaysia bukan negara sekular’ dalam rencana Utusan Malaysia pada 22 Ogos 2014.

[33] Titah Pemangku Raja Perak pada tahun 2011 semasa menyampaikan titah diRaja sempena Kongres majlis agama Islam negeri seluruh Malaysia.

[34] Dipetik oleh Mahamad Naser Disa dalam Mahamad Naser Disa (2016). Daulatkan Islam Agama Negara. Putrajaya: Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), ms. 32.

[35] Titah Paduka Seri Sultan Perak berupa ucaptama dan Perasmian oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak berjudul, ‘Konvensyen memperkukuh pasak negara: Ke arah wasiat lebih tersurat’ di Hotel Mariott, Putrajaya pada 5 Ogos 2017.

[36] Titah Paduka Seri Sultan Perak berjudul, ‘Institusi raja berperlembagaan: Kelangsungan negara bangsa’ di majlis syarahan perdana Kementerian Komunikasi, 7 Nov 2012.

Download PDF