Maria Chin sudah yakin dengan proses pilihan raya kot

442
0
SHARE

Oleh Ramli Abdul Samad

Pada 6 Feb 2018, Maria Chin Abdullah telah mengumumkan meletak jawatan sebagai pengerusi Bersih dan menyatakan hasratnya hendak terjun dalam dunia politik. Beliau begitu optimistik yang obor perjuangannya akan semakin membara jika beliau terus berkecimpung dalam arena realpolitik daripada terus kekal dalam badan sivil NGO Bersih.

Dalam sidang akhbar itu yang dibuat di kumpulan hak asasi North-South Initiative, Maria menjelaskan rationale kenapa jika beliau berjuang dalam kandang politik akan lebih bermakna daripada dia terus memimpin Bersih. Maria menambah yang jika beliau terpilih nanti sebagai wakil rakyat beliau boleh sampaikan dan meyakinkan aspirasi Bersih untuk parlimen mempertimbangkan dan mengambil kira buah fikirannya.

⇓  Maria Chin tidak minat kerusi DUN, mahu kerusi parlimen juga

Sebelum itu, tidakkah Maria terfikir yang beliau telah berjaya menggemblengkan ribuan anak muda dari semua bangsa Malaysia pada program Bersih 1 hingga Bersih 5 untuk memanifestasikan rasa tidak senang rakyat akan ketiadaan pilihan raya yang ‘bersih’ pernah dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini.

Demonstrasi lima Bersih itu tidak sesekali menjentik SPR meskipun mendapat liputan luas dalam dan luar negara. SPR mengambil sikap tidak bertanggungjawap pekak badak.

Jadi bagaimana pula jika Maria Chin yang kini berstatus seorang pejuang sivil yang sangat dihormati boleh meyakinkan kita yang lontaran hujah-hujah pro Bersih nanti boleh diambil dengan serius oleh pemerintah?

⇓  Dataran Merdeka pada 21 Nov 2016: Tun Mahathir menghadiri ‘candlelight vigil’ bagi mendesak kerajaan untuk lepaskan Maria yang ditahan di bawah Sosma

Sumpah! Bersih tidak memihak pembangkang

Sebelum itu Maria Chin menjelaskan juga yang beliau tidak akan menyertai mana-mana parti politik dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH). Beliau setuju setakat ini yang beliau setuju dengan manifesto PH.

Beliau akan bertindak sebagai seorang wakil rakyat bebas konon. Tidakkah beliau sedar yang berapakah kekuatan yang ada pada seorang wakil rakyat bebas dalam dewan yang dianggotai 222 wakil lain?

Pastinya suara nyaring Maria Chin akan seperti ‘a voice in the wilderness’ kerana suaranya akan mewakili kawasan pilihan raya bebas, tidak seperti suara yang beliau pernah mewakili puluhan ribu rakyat Malaysia semasa selaku pengerusi Bersih.

Lainlah jika Maria Chin menyertai mana-mana parti politik yang mewakili puluhan kawasan pilihan raya yang lain. Beliau tidak boleh mengatakan yang beliau mewakili atau menumpang logo PH yang belum lagi disah terima sehingga kini oleh pendaftar persatuan (ROS) bagi pilihan raya akan datang.

Tidakkah Maria menyedari juga yang beliau mesti bertanding di atas fletform sebuah parti baru maka bolehlah beliau berjuang secara politik. Semasa beliau di Bersih, beliau berjuang secara sivil meskipun gerakan Bersih berorientasikan politik (kerana isu-isu yang diutarakan berkaitan rapat dengan pilihan raya) tetapi hakikatnya beliau mengikut fletform sivil kerana Bersih adalah sebuah NGO reformasi sivil.

Tidakkah Maria Chin menerima hakikat yang kepimpinannya di Bersih adalah sangat berketrampilan dan boleh mempengaruhi puluhan ribu ahlinya yang turun ke padang untuk memberi isyarat tak langsung yang mereka harus memilih parti alternatif dan bukannya parti pemerintah yang masih berkuasa demi mencari pembaharuan.

Lihat betapa berkesannya NGO Hindraf memujuk ahlinya mengundi parti pembangkang dan terbukti yang berjaya melihat kejayaannya pada PRU12 (tahun 2008).

Maria Chin tidak menjelas betapa yang beliau akan lebih berkesan kalau beliau berada dalam dewan. Benar dewan akan menerima seorang tokoh aktivis sivil – wanita pula – yang telah menggegarkan iklim politik pada masa-masa tertentu, khasnya pada ketika ribuan berbusana kuning mendominasi tempat-tempat ikonik di ibu negara melagukan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan pilihan raya oleh SPR.

Kebolehan Maria menyusun demonstrasi berskala demikian mirip seperti keupayaan Anwar Ibrahim menyusun demonstrasi ‘mega’ menentang pentadbiran Dr Mahathir Mohamad dulu.

Kini tanpa beliau agak sulit pengerusi baru Bersih boleh melakukan apa yang telah dilakukan oleh Maria, dan ini akan memberi berita baik kepada pemerintah.

Pemerintah tidak khuartir lagi dengan quantum demonstrasi yang bakal diuruskan oleh kepimpinan baru Bersih. Pemimpin baru Bersih tidak mungkin boleh menggerakkan sejumlah penunjuk perasaan sivil yang bersantun berskala seperti yang pernah dilakukan oleh Maria Chin.

Keputusan Maria Chin yang akan masuk bertanding atas tiket bebas dalam politik pilihan raya bakal mengukuhkan tanggapan sebelum ini yang Maria Chin mempunyai cita-cita politik, dan juga dalam penglibatan beliau diragu didokong oleh parti pembangkang walaupun Maria mati-matian menafikan sangkaan pemerintah ketika itu.

⇓  Cogankata Bersih 5: “Satukan tenaga, Malaysia baru”

YB fletform bebas yang ingin bawa perubahan

Betul keadaan dan dinamika hidup boleh mengubah pendirian kita tetapi tindakan kita harus mengukuhkan lagi perjuangan sivil dan masyarakat awam vis-à-vis  pemerintah.

Apabila Maria Chin sudah berada dalam kandang parti pembangkang (atau jika PH menang nanti, maka PH berperanan sebagai parti pemerintah), pastinya dia tidak mungkin lagi mempunyai suara keramat yang boleh dipatuhi oleh struktur parti berkenaan.

Semua wakil rakyat akan tunduk kepada kepimpinan tertinggi atau ketua parti gabungan itu. Isu-isu yang sering dia perjuangkan juga telah dibangkitkan oleh pihak pembangkang dalam dewan sejak dulu lagi, cuma parti pembangkang tidak upaya menggembleng sebaik beliau untuk mengadakan demonstrasi tersusun dari semua anak bangsa.

Maria tetap berpendirian yang berada dalam dewan adalah lebih berkesan daripada meneruskan kepimpinangnya di Bersih. Pernahkan beliau merenung siapa sebelum ini yang berstatus wakil rakyat bebas meskipun di bawah payung pembangkang apatah lagi yang mesra pemerintah yang boleh membawa perubahan bermakna dalam pengutaran isu-isu sosial-politik-ekonomi negara?

Benar kita tidak boleh mendapat sesuatu perubahan berkesan secara segera daripada seorang wakil rakyat bertaraf bebas tapi mesra PH.

Satu contoh, seorang wakil rakyat yang berlainan ideologi sama ada dengan pemerintah mahupun pembangkang – Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang mewakili Parti Sosialis Malaysia. Beliau boleh dikira seperti mewakili parti bebas dan bertanding di atas tiket DAP (1999) dan PKR (2004, 2008 dan 2013).

Hampir 10 tahun sebagai wakil rakyat dan meskipun Dr Jeyakumar dilaporkan sebagai seorang wakil rakyat yang paling berintegriti dan berprinsip, namun dia gagal mempengaruhi wakil rakyat dari gabungan PH untuk menerima idea dan buah-buah fikiran sosialisme yang beliau pegang dengan kentalnya.

Ini bermakna ada batasan yang seseorang itu tidak dapat menguasai untuk merealisasikan idea-idea perjuangannya.

Apakah Maria Chin dapat membolosi idea-idea yang sama seperti yang dia perjuangkan semasa di Bersih dengan lebih berkesan dengan erti semua wakil rakyat dari gabungan PH akan menerimanya dan membikinnya sebagai usul-usul keutamaan untuk dipersembahkan dan diperdebatkan dalam dewan?

Ya, masa akan menentukannya. Tetapi mengikut dari pengalaman dan rekod kegiatan wakil yang datang dari fletform bebas, belum ada lagi contoh yang menunjukkan sesuatu yang memberansangkan yang datang dari wakil rakyat bebas – baik yang mesra parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Malaysia kian menunjuk yang trend parti dua sistem bakal muncul dan bertapak, mungkin Malaysia ingin meniru secara sedar atau tidak seperti apa yang berlaku di England (ada Parti Buruh dan Konservatif) dan Amerika Syarikat (ada Demokrat dan Republikan).

Natijahnya, apakah keputusan Maria Chin yang sudah meletak jawatan sebagai pengerusi Bersih telah membuat memikir ulang dan melihat situasi di negara-negara lain? Apakah sumbangan satu atau beberapa wakil rakyat bebas itu boleh memberi impak bermakna kepada keseluruhan perjuangan politik atau akan kekal sahaja sebagai pemain yang terpuruk.

Download PDF